CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Nisfu Sya'ban


Nisfu Syaaban (Nisf bermaksud separuh) adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh malaikatuntuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu.Pengertian nisfu Syaaban am bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.
Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:
Rasulullah saw telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata dlm sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dpt menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”
Setelah Baginda saw selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalan malam Nisfu syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah dtg kpd hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kpd mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang2 yg dengki.”
Hari nisfu sya’aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya’aban bermula pada 14 hb sya’aban sebaik sahaja masuk maghrib)

Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat dalam keadaan tidur atau lalai.

iblis datang mengganggu ketika sakaratul maut


Syaitan dan Iblis akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Iblis mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan. Hadith Rasulullah SAW. menerangkan:
Yang bermaksud: “Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan syaitan di waktu maut.”
Rombongan 1
Akan datang Iblis dengan banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. Maka disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan Iblis itu, di waktu itu nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah SWT inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.
Rombongan 2
Akan datang Iblis kepada orang yang didalam sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, Harimau, Singa, Ular dan Kala yang berbisa. Maka Apabila yang sedang didalam sakaratul maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat sekuat hati. Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah SWT, matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.
Rombongan 3
Akan datang Iblis mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia minat dengan Kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan Kuda lumba (judi). Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah SWT. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.
Rombongan 4
Akan datang Iblis merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya
Rombongan 5
Akan datang Iblis merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperi ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh Iblis, berkata dengan rayu-merayu “Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga.” Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.
Rombongan 6
Akan datanglah Iblis merupakan dirinya sebagai ulamak-ulamak yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: “Wahai muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu.”
Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali. Lalu datanglah pula Iblis yang menyerupai ulamak dengan berkata: “Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?” Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut: “Aku tidak tahu.” Berkata ulamak Iblis: “Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi.
Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah SWT hendaklah kamu patuh kepada kami.” Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Iblis bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut). Kemudian orang yang sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulamak palsu: “Bagaimanakah Zat Allah?” Iblis merasa gembira apabila jeratnya mengena.
Lalu berkata ulamak palsu: “Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu.” Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi.
Rombongan 7
Rombongan Iblis yang ketujuh ini Iblis terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati Iktikad Muhammad SAW bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat. Ketahuilah bahawa Iblis itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlain di dalam waktu manusia sakaratul maut. Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Iblis dan syaitan yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut.
Bersesuaian dengan sebuah hadith yang bermaksud: “Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: Laa Ilaaha Illallah.   






Batch 786 elit

Peranan Pemuda Islam



Pemuda digambarkan sebagai seseorang yang sedang melalui satu peringkat tumbesaran di mana kekuatan fizikal, mental dan spiritual berada pada tahap yang paling optimum. Zaman ini merupakan satu peringkat seseorang manusia mampu mencari resolusi terbaik buat menangani masalah yang didepani.
Pemuda digambarkan sebagai unsur kekuatan dan menjadi tiang seri kepada pembangunan umat. Pemuda Islam bukan setakat mampu menghadapi gelodak cabaran namun terpikul dipundaknya risalah Islam yang merupakan risalah Nabi Muhammad S.A.W dan risalah Al-Quran .
Firman Allah :
Kami ceritakan kisah mereka kepadamu ( Muhammad ) dengan sebenarnya, maka sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk. ( al- Kahfi : 13 )
SIAPAKAH PEMUDA ISLAM ?
Pemuda Mithali Sepanjang Zaman
Nabi Ismail a.s
Al-Quran jelas menceritakan kisah pengorbanan pemuda mulia ini yang sanggup menuruti perintah Allah seperti yang diimpikan oleh bapanya. Hatinya tidak terdetik untuk membantah perintah Allah. Ketaatan kepada agama anutannya adalah mutlak.
Hai anakku, sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu. Hai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. ( as Saffat : 102 )
Nabi Yusuf a.s
Walaupun ditawarkan dengan keghairahan oleh wanita bangsawan yang jelita namun Nabi Yusuf tetap tidak terpedaya dengan tipu daya syaitan.
Baginda lebih rela disumbat ke penjara dengan penuh kehinaan walaupun peluangnya untuk melepaskan diri terbuka luas jika baginda menuruti kehendak wanita tersebut. Antara dua ujian – ujian dunia ( dipenjara) atau ujian agama (zina),baginda memilih untuk menghadapi ujian dunia.
Aku mohon berlindung kepada Allah,sesungguhnya tuanku telah memperlakukan aku dengan baik,sesungguhnya tidak akan beruntung orang-orang zalim. (Yusuf: 23)
Ini merupakan dua contoh daripada ramai pemuda-pemuda Islam mithali yang seharusnya menjadi idola kepada pemuda Islam keseluruhannya.
Pertama : Tanggungjawab Memahami Islam
Tanggungjawab ini telah digariskan oleh agama. Pemuda-pemuda perlu mempelajari ilmu agama namun diwaktu yang sama tidak meninggalkan bidang pengkhususan masing-masing.
Pemahaman yang tepat terhadap Islam akan mengelakkan mereka daripada menambah perkara-perkara yang tidak bersangkutan dengan agama dan dinamakan dengan Bid’ah Hasanah. Pemahaman yang tepat juga mengelakkan pemuda-pemuda daripada mengurangkan dan mengubahsuaikan agama supaya menepati selera mereka.
Sabda Nabi S.A.W :
Barangsiapa yang melakukan sesuatu perkara baru dalam urusan kami ini, perkara yang tidak bersangkutan dengannya, maka ia tertolak.
Pemuda-pemuda harus membezakan antara perkara tunjang dengan cabang. Mereka juga sepatutnya mendahulukan perkara yang lebih utama berbanding perkara yang remeh temeh. Keupayaan membezakan antara halal dan haram, fardhu dan sunat, makruh dan harus sepatutnya menjadi pertimbangan pemuda-pemuda Islam.
Pemahaman ini tidaka akan diperolehi dengan tepat melainkan jika sumber yang digunakan adalah Al-Quran dan Sunnah, bukannya cerita-cerita Israiliyat, riwayat-riwayat dhaif, hadis-hadis ciptaan ataupun ilham peribadi.
Lantaran itu, belajar adalah satu perkara yang wajib dan menjadi wasilah untuk mendapat kefahaman yang jelas terhadap agama dan pengetahuan yang lain. Sebagai contohnya, pemuda-pemuda tidak lari daripada mempelajari hokum-hukum bersuci, sembahyang dan puasa.
Mereka juga tidak boleh lari daripada mempelajari hukum-hukum haji. Seandainya pemuda-pemuda ini seorang yang berharta maka wajar bagiya untuk mempelajari hokum zakat dan jika pemuda tersebut seorang usahawan maka wajib baginya mempelajari hokum-hukum yang berkaitan dengan keusahawanan.
Pemuda-pemuda juga harus belajar daripada pengalaman-pengalaman orang-orang terdahulu dan mengambil seerah Rasulullah sebagai panduan di dalam urusan hidupnya. Namun akibat kecuaian umat Islam suatu ketika dahulu, pemuda-pemuda lebih mengetahui sejarah barat. Malah memalukan kerana mereka engenali Napoleon lebih baik berbanding Nabi Muhammad S.A.W. Mereka tidak mengetahui melainkan kekejaman Islam dan terpesona dengan peradaban Barat.
Dari sinilah bertolaknya kewajipan pemuda-pemuda Islam untuk memahami Islam diajar secara berperingkat-peringkat. Begitulah juga dengan amalan untuk melaksanakan ajaran Islam. Pemuda-pemuda Islam bolehlah berpada dengan amalan fardhu, kemudian melakukan amalan sunat dan nawafil. Selepas itu mereka cuba untuk melengkapkannya dengan bangun malam dan melipatgandakan amalan-amalan sunat.
full-time-muslimDemikian jugalah dari segi meninggalkan tegahan Allah. Pemuda-pemuda Islam memulakannya dengan meninggalkan perkara-perkara yang jelas haram dan diikuti dengan perkara-perkara syubhat dan makruh dan akhir sekali meninggalkan kebiasaan perkara-perkara sia-sia yang mungkin pada pandangan umum merupakan kebiasaan yang tiada salahnya.
Dia patut memahami Islam sehingga dia mampu menolak sebarang bentuk keraguan dan salah faham terhadap agama Islam. Selain daripada itu, dengan pemahaman yang jitu pemuda-pemuda akan mampu untuk memahamkan orang-orang lain dan menangkis tohmahan orang-orang sesat.
Kedua : Tanggungjawab Beramal Dengan Islam
Pohon yang rendang tidak bermanfaat seandainya tidak mengeluarkan buah. Begitulah perumpamaan seorang yang berilmu tetapi gagal beramal dengan ilmunya. Janganlah pemuda Islam menjadi bahan tempelakan Allah seperti Allah menempelak bangsa-bangsa terdahulu yang menerima kitab samawi dan mereka belajar tentangnya tetapi tidak dengan ajaran yang dipelajarinya.
Firman Allah :
Perumpamaan orang-orang yang dipikul ke atas mereka Kitab Taurat , kemudian mereka tidak memikulnya (tidak beramal dengan kandungannya) adalah seperti kaldai yang membawa kitab-kitab tebal. Amat buruklah perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu dan allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim. ( al Jumu’ah : 5 )
Dakwah Islamiah lebih cepat tersebar melalui Qudwah yang baik yang terpancar melalui akhlak-akhlak dan perilaku umat muslimin. Seandainya pemuda Islam gagal untuk beramal dengan ajaran Islam yang telah dipelajari dan difahaminya, maka usaha penyebaran dakwah akan terbantut. Islam amat indah jika dibaca di dalam buku tetapi dek kerana kesilapan penganutnya yang enggan beramal dengan ajaran Islam secara total maka tampaklah keburukan umat Islam.
Amat menyedihkan umat islam kini tatkala mendengar kata-kata seorang Barat yang baru menganut agama Islam ; “ Segala puji bagi Allah, Tuhan yang mengenalkan aku kepada Islam sebelum aku mengenali orang-orang Islam”.
Ketiga : Tanggungjawab Berdakwah Kepada Islam
Tidak cukup untuk seseorang pemuda memahami Islam dan berjaya membentuk dirinya menjadi seorang yang soleh tetapi dituntut daripada mereka untuk memikul beban dakwah Islam.
Firman Allah :
Hai anakku ! Dirikanlah sembahyang dan suruhlah manusia mengerjakan kebaikan dan cegahlah ( mereka ) daripada perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan oleh Allah. (Luqman : 17 )
Dewasa ini kejahilan yang melata di dunia menuntut pemuda Islam untuk menjadi seorang pekerja agama buat mengembalikan manusia kepada pengalaman Islam yang mutlak. Tugas ini bukanlah satu tanggungjawab yang ringan dek kerana halangan-halangan daripada manusia sendiri yang bebal untuk menerima Islam sebagai agama yang sempurna. Namun dalam melaksanakan tanggungjawab ini pemuda Islam harus sedar bahawa tiada satu dakwah pun yang tidak akan ditentang. Pemuda Islam harus sedar tiada tugas yang lebih besar yang menanti mereka daripada melaksanakan tanggungjawab berdakwah ini.
Firman Allah : Siapakah yang lebih baik perkataan daripada orang menyeru kepada Allah, mereka mengerjakan amal soleh dan berkata “ Sesungguhnya aku termasuk dalam golongan orang yang menyerah diri “. ( Fussilat : 33 )
Keempat : Tanggungjawab Bersatu Kerana Islam
Pemuda-pemuda Islam yang berkefahaman jitu dan sanggup bekerja untuk Islam seharusnya bertanggungjawab untuk saling Bantu membantu sesame pekerja Islam dan sama-sama berusaha untuk mengembalikan keagungan Islam. Tugas ini amatlah berat dan cita-cita ini tidak akan tercapai sekiranya pekerja-pekerja Islam bergerak secara bersendirian. Islam memerlukan pekerja yang bergerak secara berkumpulan dan jiwa pekerjanya diikat dengan tali kasih sayang dan ukhuwwah walaupun terdapat perbezaan corak kerja antara kelompok-kelompok Islam.
Sekiranya golongan kafir mampu untuk bersatu menentang Islam,kenapakah petugas-petugas Islam tidak mampu berganding bahu dan saling bantu membantu untuk melaksanakan tanggungjawab dakwah ?
Firman Allah :
Dan orang-orang kafir sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Jika kamu ( orang-orang Islam ) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu,nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar. ( al-Anfal : 73 )
Akhir kata inilah empat tanggungjawab yang mesti dilangsaikan oleh pemuda Islam. Mereka sepatutnya memeriksa setiaptanggungjawab ini di dalam dirinya; adakah semua tuntutan ini sudah ditunaikan ataupun pernahkah dia melaksanakan tanggungjawab ini ?. Berbanggalah mereka tatkala hari kemenangan Islam tiba dan mereka merupakan penolong agama allah.





Dan di hari itu bergembiralah orang-orang yang beriman dengan pertolongan Allah. Dia yang menolong sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Perkasa Lagi Maha Pengasih ( ar- Rum : 4-5 )
Semoga kita menjadi batu bata kepada binaan Islam..pewaris Generasi Solahuddin al-Ayyubi…




Batch 786 elit